Bola Sepak

Tuchel bingung mengenai situasi Abramovich

Oleh AFP

London: Thomas Tuchel mengakui persoalan mengenai masa depan Roman Abramovich sebagai pemilik Chelsea mengganggu persiapan pasukannya menjelang final Piala Liga menentang Liverpool.

Selepas serangan Russia ke atas Ukraine minggu ini, Abramovich menjadi topik perbincangan di Parlimen Britain.

Abramovich adalah salah seorang daripada jutawan dan pemilik syarikat dari Russia yang berdepan penggantungan daripada Britain berhubung krisis di Ukraine.

Wujud cadangan di Parlimen bahawa United Kingdom harus merampas aset Abramovich dan menghalangnya daripada memiliki Chelsea.

Walaupun Abramovich tidak berada di bawah sebarang sekatan setakat ini, Tuchel mengakui situasi itu, bersama-sama dengan perang di Ukraine, mewujudkan gangguan menjelang pertembungan dengan Liverpool di Wembley.

"Kami tidak boleh berpura-pura mengatakan ini bukanlah satu isu. Situasi ini secara amnya untuk saya, staf, pemain ia sangat mengerikan.

"Tidak ada siapa yang menjangkakan perkara ini. Ia sukar dipercayai, seperti saya katakan ia menyelubungi fikiran kami dan semangat kami menjelang final.

"Ia juga menimbulkan tanda tanya, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada dalam situasi itu. Apa yang paling penting ialah keselamatan mereka dan saya doakan semuanya selamat," kata Tuchel.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 10:53am
d