Bola Sepak

Jana ekonomi bola sepak tempatan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Menjadi tuan rumah aksi kelayakan Piala Asia 2023 memberikan prospek paling cerah buat Malaysia dari segi dua perspektif dan wajar diteruskan di sebalik peningkatan kes Covid-19.

Dari sudut utama, pasukan Harimau Malaya akan memiliki kelebihan dengan bermain di halaman dan hadapan penyokong sendiri sekalipun kerajaan mengenakan had penonton.

Dari sudut kedua, ia merancakkan semula kegiatan ekonomi dan menjana perolehan kepada industri bola sepak tempatan, termasuk untuk kegiatan arus perdana seperti pengiklanan, hak siaran antarabangsa, penjualan tiket serta industri hiliran seperti pelancongan dan perniagaan kecil.

Bahkan Pensyarah Kanan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadikan saingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun nanti dijadikan sebagai uji kaji bagi melihat kemampuan penganjuran tenaga kerja tempatan dalam merancakkan semula industri sukan negara.

"Bayangkan kali terakhir Harimau Malaya beraksi di depan penyokong sendiri pada November 2019. Andai pasukan negara tidak beraksi di gelanggang sendiri sehingga Jun nanti, bermakna Harimau Malaya tidak bermain di depan penyokong kita sendiri selama 56 bulan atau dua tahun lapan bulan.

"Sedangkan jiran Singapura menjadi hos Piala AFF 2020, manakala Kemboja menjadi hos Piala AFF Bawah 23 tahun tetapi kita masih berfikir perlu atau tidak batalkan hak tuan rumah Malaysia.

"Jangan kita mundur, sebaliknya rangkalah SOP terbaik untuk industri bola sepak rancak semula. Bukan sahaja Ultras Malaya boleh melaungkan chant mereka, abang burger pun boleh cari makan bila Malaysia main."

Sadek menambah, dengan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa kes harian positif Covid-19 yang dilaporkan majoritinya kategori 1 dan 2, KBS harus memujuk KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mula melonggarkan beberapa SOP yang dianggap terlalu menyulitkan Malaysia untuk membuka pintu kepada penganjuran kejohanan sukan antarabangsa.

"Walaupun sempadan negara belum dibuka, cuba kita kaji tindakan negara lain dalam menganjurkan kejohanan bola sepak di negara mereka.

"Yang pasti langkah pencegahan seperti ujian calitan di destinasi asal, tempoh isolasi yang sesuai, sertai pematuhan SOP yang ketat sebelum, sepanjang dan pasca kejohanan harus dilaksanakan," katanya.

Malaysia diberi hak menjadi tuan rumah Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 dengan menganjurkan enam perlawanan pada Jun depan.

Malaysia akan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh 14 Jun.

Juara setiap kumpulan dan lima naib juara terbaik dari enam kumpulan akan layak ke China, mengiringi 13 pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 6:15am
d