Bola Sepak

Abramovich serah penjagaan kelab kepada yayasan amal

Oleh AFP

London: Pemilik Chelsea dari Rusia, Roman Abramovich berkata, beliau sudah menyerahkan penjagaan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kepada pemegang amanah yayasan amal kelab berkenaan.

Tindakan itu dibuat selepas Rusia berada di bawah pengawasan ketat apabila melakukan pencerobohan terhadap Ukraine minggu ini.

"Sepanjang hampir 20 tahun memiliki Chelsea FC, saya melihat peranan saya sebagai penjaga kelab, yang tugasnya ialah memastikan kami berjaya seperti hari ini, selain membina asas untuk masa depan serta memainkan peranan positif dalam masyarakat.

"Saya sentiasa membuat keputusan untuk kebaikan kelab. Saya akan kekal dengan prinsip ini. Disebabkan itu saya menyerahkan penjagaan Chelsea FC kepada yayasan amal kelab.

"Saya percaya mereka berada pada kedudukan terbaik untuk melihat kepentingan kelab, pemain, staf dan penyokong," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan Abramovich mengambil keputusan itu untuk melindungi Chelsea daripada terkena sebarang tempias akibat peperangan di Ukraine.

The Telegraph melaporkan Abramovich akan kekal sebagai pemilik kelab dan tidak berniat untuk menjual penyandang juara Liga Juara-Juara itu.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 9:52am
d