Bola Sepak

Bayern menang, Lewandowski tunjuk sokongan kepada Ukraine

Oleh AFP

Berlin: Leroy Sane menjaringkan gol kemenangan di hujung saingan untuk membolehkan Bayern Munich menang 1-0 ke atas Eintracht Frankfurt bagi melebarkan jurang sembilan mata di tangga teratas Bundesliga.

Sementara itu, Robert Lewandowski mengetuai saingan liga berkenaan dengan menunjukkan sokongan kepada Ukraine di atas pencerobohan Rusia.

Sane masuk sebagai pemain gantian sebelum mengesahkan tiga mata buat Bayern dalam perlawanan yang dibayangi perkara luar selain bola sepak, apabila stadium di Frankfurt itu menyalakan cahaya biru dan kuning bersempena dengan bendera Ukraine.

Papan elektronik di padang juga tertera mesej 'Hentikan Putin!' yang ditujukan khas kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Pasukan Bayern memakai lilitan hitam untuk memberi penghormatan kepada mangsa dalam konflik berkenaan manakala ketua pasukan, Lewandowski mengenakan lilitan kuning biru.

"Saya membuat keputusan untuk memakai lilitan ini, kerana dunia tidak boleh menerima apa yang berlaku. Kita harus memberi sokongan kepada Ukraine dan mereka sedang berjuang di sana.

"Saya seorang yang anti peperangan dan merasakan ia tidak sepatutnya berlaku, ia menyakitkan.

"Saya harap seluruh dunia memberi sokongan kepada Ukraine. Rakyat mereka berjuang demi kebebasan dan saya sangat menghormati mereka," kata Lewandowski.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 12:48pm
d