Bola Sepak

Klopp cabar Liverpool sapu bersih trofi kejuaraan

Oleh AFP

London: Jurgen Klopp mencabar Liverpool untuk mengejar empat kejuaraan bersejarah selepas The Reds memenangi Piala Liga dalam perlawanan penentuan penalti penuh dramatik menentang Chelsea, awal pagi tadi.

Skuad Klopp merangkul kejuaraan pertama dari empat trofi utama musim ini apabila penjaga gol Chelsea Kepa Arrizabalaga gagal menyempurnakan sepakan penalti yang melepasi gawang gol.

Kepa satu-satunya pemain yang gagal dalam sepakan penalti dalam perlawanan itu yang menyaksikan Liverpool menang 11-10 ke atas Chelsea.

Liverpool merekodkan kejuaraan kesembilan Piala Liga dan kemenangan yang pertama di peringkat domestik sejak 2012.

Selepas gagal menang sebarang trofi musim lalu, Klopp percaya pemainnya boleh meneruskan rentak terbaik mereka di Wembley untuk menjadi kelab England pertama meraih semua gelaran.

Skuad Reds kini enam mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City dengan kurang satu perlawanan, memegang kelebihan 2-0 pada aksi kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan dan akan menanti kehadiran Norwich pada pusingan kelima Piala FA Rabu ini.

"Ini adalah permulaan. kami bukan gila. Anda perlukan tuah. Kami perlu bersaing, kerja keras dan kami sekali lagi akan bermain pada Rabu, yang sehingga kini saya masih tidak percaya," kata Klopp.

"Anfield akan bergegar kerana keputusan ini dan saya harap kami boleh menyajikan perlawanan menggembirakan.

"Kami tidak gementar apabila ia tidak berlaku dengan baik. Kini kami lebih berpengalaman.

"Ia sesuatu yang besar buat kami. Pertama kali buat kumpulan pemain ini. Suasana sangat menakjubkan. Sesuatu yang bagus untuk meraikannya bersama orang ramai selepas perlawanan."

Disiarkan pada: February 28, 2022 @ 12:52pm
d