Bola Sepak

Arsenal umum rekod kerugian tertinggi

Oleh AFP

London: Arsenal mengumumkan rekod kerugian sebanyak £107.3 juta (RM603.9 juta) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2021.

Selepas kerugian hampir £50 juta (RM281.4 juta) pada tahun sebelum itu, kelab Liga Perdana itu mencatatkan kerugian tertinggi selepas cukai dalam penyata kewangan mereka.

Kira-kira £85 juta (RM478.4 juta) kemerosotan itu berpunca daripada wabak Covid-19 yang menyaksikan Arsenal hanya bermain dua perlawanan di hadapan penyokong di Stadium Emirates pada musim 2020-21.

"Keputusan kewangan untuk tahun lalu terjejas secara material kesan daripada pandemik yang menyebabkan majoriti perlawanan untuk musim 2020/21 diadakan secara tertutup," kata Arsenal dalam satu kenyataan.

"Untuk perlawanan yang dimainkan secara tertutup, pendapatan daripada penjualan tiket tidak dapat dilakukan.

"Biarpun bermain 31 perlawanan di tempat sendiri (23 perlawanan Liga Perdana, termasuk empat perlawanan ditangguhkan akibat penggantungan musim 2019/20, enam perlawanan Liga Europa dan dua perlawanan piala domestik) hanya dua perlawanan dibenarkan kehadiran penonton.

"Akibatnya hasil penjualan tiket pada hari perlawanan turun kira-kira £75 juta (RM422.1 juta) kepada £3.8 juta (RM21.3 juta)."

Skuad utama Arsenal bersetuju dengan pemotongan gaji secara sukarela sebanyak 12.5 peratus ketika pandemik bagi mengimbangi perbelanjaan gaji yang berjumlah £244 juta (RM1,373.4 juta).

Angka kewangan itu diumumkan hanya beberapa jam selepas Arsenal mengumumkan kenaikan harga tiket untuk musim 2022-23.

Peningkatan harga dalam tempoh lapan tahun akan menyaksikan penyokong membayar tambahan empat peratus untuk menonton pasukan Mikel Arteta tahun depan.

"Kami menyedari bahawa tiada siapa yang mengalu-alukan kenaikan harga, dan keputusan ini tidak dipandang ringan," kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: March 1, 2022 @ 8:47am
d