Bola Sepak

Tengku Amir harap Pan-gon bawa sinar

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pelantikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon diharapkan dapat memberi sinar baharu buat skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Harapan itu diluahkan Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selepas sempat meluangkan masa bersama Pan-gon dan barisan kejurulatihannya yang hadir ke Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), di Shah Alam, semalam.

Jelas Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor itu, kepakaran pengendali luar itu sememangnya diperlukan bagi memberi nafas baharu buat skuad negara terutama dari segi taktikal dan gaya permainan.

"Saya harap staf kejurulatihan baharu yang diketuai oleh beliau ini (Pan-gon) akan dapat membawa kejayaan kepada skuad Harimau Malaya.

"Sudah tentu dengan kehadiran barisan kejurulatihan import ini, kita mahu melihat mereka ini dapat berkongsi ilmu pengetahuan bola sepak dan ini peluang untuk pemain-pemain kita meningkatkan lagi tahap permainan apabila dipanggil ke pasukan kebangsaan.

"Ia akan memberikan kita satu perspektif baharu, idea baharu untuk cara kita berlatih, cara mempersiapkan pasukan dan juga dari sudut taktikal.

"Harap prestasi pasukan kebangsaan akan lebih meningkat dan kita dapat mencapai kemenangan serta kejayaan yang lebih baik," katanya.

Pan-gon, 53, dilantik sebagai pengendali selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatannya pada awal Januari lalu susulan kegagalan skuad negara di Piala AFF di Singapura, Disember tahun lalu.

Tugasan pertama bekas jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu adalah menghadapi dua aksi persahabatan menentang Filipina dan Singapura pada jendela perlawanan antarabangsa hujung bulan ini yang dijadual berlangsung di Singapura.

Selepas itu, skuad negara bakal turun dalam kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Hanya enam juara dan lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia yang bakal diadakan di China pada Jun tahun depan.

Disiarkan pada: March 1, 2022 @ 1:12pm
d