Bola Sepak

Chelsea untuk dijual

Oleh Agensi

London: Roman Abramovich akan menerima tawaran untuk menjual Chelsea minggu ini dengan sekurang-kurangnya tiga pihak dikatakan berminat membeli kelab itu.

Ia juga dipercayai kali pertama jutawan Rusia itu mempertimbangkan untuk menjual kelab berkenaan.

Tawaran itu sedang disiapkan ketika ini dengan pemilik Chelsea itu sedang berdepan tekanan kemungkinan asetnya akan dibeku atau di rampas berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Chelsea sebelum ini menegaskan kelab itu bukan untuk dijual, namun situasi semasa semakin berbeza dan terdapat kemungkinan Abramovich tiada pilihan lain selain menjual kelab berkenaan.

Terdapat juga dakwaan Abramovich akan menjual rumah agamnya di Kensington Palace Gardens.

Abramovich sebelum ini menyerahkan penjagaan pasukan Liga Perdana itu kepada pemegang amanah yayasan amal kelab berkenaan.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel ketika ditanya mengenai kedudukan Abramovich berkata: "Terlalu berat untuk saya jawab. Saya tidak mempunyai maklumat lanjut dan tidak mengetahui keseluruhan keadaan.

"Kita semua tahu ada situasi yang jauh lebih penting daripada bola sepak. Situasi seperti peperangan sudah tentu jauh lebih penting.

"Tetapi saya tak dapat mengulas mengenai Abramovich kerana saya tidak tahu lebih lanjut mengenainya."

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 11:33am
d