Bola Sepak

KDA FC waspada ancaman Sarawak United

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menganggap pendatang baharu Liga Super, Sarawak United FC yang akan ditemui Jumaat ini mampu mencabar dan memberi saingan sengit buat skuad Sang Kenari .

Bakal beraksi di Stadium Negeri, Kuching pada aksi pertama musim ini, ia pastinya menguji taktikal baharu corak permainan pantas Sang Kenari yang antaranya dibarisi Syafiq Ahmad, Al-Hafiz Harun, Ameer Azahar, Fayadh Zulkifli dan lain-lain bagi kategori pemain tempatan.

Selain itu, sentuhan pemain import Ronald Ngah, Dechi Marcel, Dennis Buschening, Marc Vales dan Jang Suk Won dinantikan peminat.

Namun bagi Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, kelebihan memihak kepada skuad Sarawak United bimbingan bekas jurulatih E Elavarasan yang akan beraksi di laman sendiri.

"Saya tidak mahu pemain mengambil mudah cabaran pertama ini walaupun rekod kemenangan berpihak kepada Kedah dalam aksi pramusim pada saingan Piala Sabah Maju Jaya di Sabah bulan lalu.

"Beraksi di tempat lawan untuk aksi pertama Jumaat ini memang akan memberi cabaran besar buat kami dan pemain perlu bersedia dari aspek memberi fokus mereka yang terbaik," katanya.

Aidil juga berkata walaupun skuadnya memiliki rekod yang baik dengan 9 kemenangan dari 12 perlawanan aksi pramusim lalu, namun ia bukan penentu Kedah mampu menguasai perlawanan.

"Rekod pramusim itu sudah berlalu dan anggap itu sebagai motivasi berguna dalam perlawanan yang akan bermula ini. Pemain harus teruskan objektif pasukan dalam memburu tiga mata yang diperlukan," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 2:50pm
d