Bola Sepak

Malaysia Airlines rakan penerbangan rasmi MFL

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sekali gus mengumumkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasminya.

Melalui perkongsian itu, Malaysia Airlines akan menyediakan perjalanan yang selamat dan lancar untuk MFL, bagi menyokong aktivitinya, termasuk persidangan tempatan dan antarabangsa, klinik bola sepak dan pertandingan profesional di bawah pengelolaannya.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAB, Lau Yin May.

Turut hadir pada majlis itu Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail yang menyaksikan pemeteraian perjanjian itu.

"Perkongsian Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan Malaysia Airlines Berhad melambangkan dua jenama, syarikat penerbangan kebangsaan dan persatuan bola sepak terbesar negara, bersatu untuk meningkatkan taraf dunia bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan agenda negara.

"Kami berbesar hati mengalu-alukan syarikat penerbangan kebangsaan kami ke Liga Malaysia. Dengan musim baharu dan perlawanan yang dijadualkan sepanjang tahun ini, warga bola sepak Malaysia dan peminat yang ingin mengembara ke seluruh negara boleh mengambil kesempatan daripada peningkatan frekuensi Malaysia Airlines, terutamanya dari Sabah dan Sarawak.

"Penumpang juga boleh menikmati penerbangan Malaysia Airlines yang mempunyai rekod keselamatan cemerlang selaras dengan kempen Fly Confidently untuk menonton pasukan kegemaran mereka dari dekat.

"Ini akan memberi banyak rangsangan kepada persaudaraan bola sepak dan kelab selepas pembatalan beberapa perlawanan pramusim tahun ini disebabkan isu berkaitan Covid-19," kata Stuart.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 7:58pm
d