Bola Sepak

Liga bola sepak wanita Melaka dilancarkan

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Saingan Liga Bola Sepak Wanita Piala Datin Seri Utama Munirah M Yusop bakal membuka lembaran baharu perkembangan pasukan wanita negeri berkenaan.

Lebih menarik kejohanan julung kali membabitkan piala isteri Ketua Menteri Melaka terbabit antara usaha negeri berkenaan memperkasakan wanita dalam sukan berkenaan sekali gus mengasah bakat baharu untuk skuad negeri dan negara.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Ayer Keroh sebentar tadi.

Hadir sama EXCO Belia dan Sukan negeri, V Shanmugam, EXCO Wanita negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengerusi pertandingan yang juga EXCO wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Dalam pada itu, Munirah menzahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang tampil mencadangkan kejohanan berkenaan.

Katanya, kejohanan pentas buat pemain wanita mengetengahkan bakat mereka selain ruang untuk beraksi pada peringkat lebih tinggi pada masa depan.

"Terima kasih kepada MUSA kerana mengutarakan dan memberikan cadangan untuk mewujudkan piala ini bagi mengisi kekosongan yang selama ini kita tahu sukan bola sepak hanya membabitkan golongan lelaki.

"Sehubungan itu, peminat-peminat bola sepak wanita harus mengambil kesempatan mengasah bakat mereka untuk menyertai pasukan yang bertanding," katanya.

Kejohanan yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat dijangka membabitkan lapan pasukan dalam usaha penganjur memberi peluang kepada pemain muda dalam kalangan wanita menterjemahkan kualiti permainan mereka dalam sukan terbabit.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 10:22pm
d