Bola Sepak

Sri Pahang sudah sedia layan TFC

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel optimis skuad kendaliannya itu sudah bersedia menghadapi perlawanan pertama Liga Super berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darulmakmur, Sabtu ini.

Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, segalanya sudah dilakukan dalam membentuk pasukan yang diyakini mampu menyekat lawan daripada membawa pulang mata.

"Sudah tentu kami bermain untuk menang tetapi dalam apa yang dilakukan, saya harus realistik selepas skuad ini berdepan kes Covid-19 dan keadaan cuaca tidak menentu iaitu hujan hingga menjejaskan sesi latihan.

"Pada masa sama, skuad ini dibarisi sebahagian besar pemain baharu termasuk import yang masih dalam proses pembentukan pasukan.

"Oleh itu peminat Sri Pahang perlu bersabar dan diharapkan semua pemain dapat mempertingkatkan prestasi mereka dengan konsisten dan berterusan pada perlawanan demi perlawanan.

"Namun, apa yang pasti kami akan memberikan yang terbaik dalam menghadapi saingan liga musim ini," kata jurulatih berumur 50 tahun itu.

Mengulas komitmen anak buahnya, Gamel percaya dengan latihan dan beberapa aksi persahabatan yang dilakukan sejak dua bulan lalu mampu memberikan prestasi yang terbaik.

Bagaimanapun, beliau mengakui TFC memiliki barisan pemain yang mantap dan anak buahnya perlu kekal fokus sepanjang perlawanan.

"Bagi saya TFC adalah sebuah yang kuat dan akan memberi cabaran kepada Sri Pahang tetapi bermain di tempat sendiri diharap membantu melakar kemenangan," katanya.

Musim ini, Sri Pahang mendapatkan khidmat Gamel yang juga bekas jurulatih kebangsaan Fiji dalam memberikan perubahan dalam skuad itu.

Pada masa sama, empat daripada lima pemain import adalah muka baharu iaitu Mamadou Samassa, Mahmoud Za'tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphon.

Manuel Hidalgo yang beraksi di bahagian tengah dan menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua, dikekalkan musim ini.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 2:22pm
d