bola-sepak

UiTM FC dibarisi 100 peratus pelajar

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC musim ini tampil dengan 100 peratus pemain tempatan terdiri daripada pelajar universiti itu dalam mengharungi Liga Perdana 2022 yang akan memulakan sepak mula Sabtu ini.

Presidennya Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada pelajar universiti itu bagi menyerlahkan bakat mereka disamping memberi pendedahan untuk melahirkan pemain yang bertaraf profesional.

Katanya lagi hanya 10 peratus muka lama musim lalu dikekalkan pasukan The Lions Troops.

"Kami berkeyakinan UiTM FC kali ini mampu beri saingan dalam Liga Perdana kali ini walaupun kami hanya menampilkan 100 peratus pelajar UiTM.

"Tetapi itulah hasrat mula-mula UiTM FC ditubuhkan dan kami balik kepada asas pada tahun ini, kami tampilkan semua pemain tempatan terdiri daripada pelajar pra diploma, diploma, ijazah dan alumni universiti," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan jersi UiTM FC bagi musim 2022 di Pusat Sukan UiTM di sini, hari ini.

Mohd Sazili berkata pihaknya tidak menolak mencari pemain import pada pertengahan musim sekiranya mempunyai kemampuan dari segi pembiayaan.

"Untuk awal musim ini, kami akan main dahulu. Dan kami akan lihat bahagian mana yang perlu kami tampung dengan pemain import dalam memperkukuhkan pasukan ini," katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu seramai 25 pemain diperkenalkan mengandungi tiga penjaga gol, tujuh pertahanan, 10 pemain tengah dan lima penyerang.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 8:52pm
d