Bola Sepak

Rusia kemuka rayuan larangan beraksi di Piala Dunia

Oleh AFP

Moscow: Persekutuan Bolasepak Rusia (RFU) mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap penyingkiran mereka daripada Piala Dunia 2022 dan semua pertandingan antarabangsa.

Rusia sepatutnya bertemu Poland pada aksi playoff Piala Dunia 24 Mac ini tetapi pada 28 Februari lalu, Fifa dan Uefa melarang negara itu daripada menyertai semua pertandingan susulan pencerobohan ke atas Ukraine.

Dalam satu kenyataan RFU mahu melancarkan satu tuntutan mahkamah terhadap badan induk dunia dan Eropah itu berhubung 'pemulihan semua pasukan kebangsaan lelaki dan wanita Rusia untuk semua peringkat pertandingan bola sepak'.

Isnin lalu, Fifa dan Uefa mengumumkan penyingkiran Rusia daripada semua pertandingan bola sepak antarabangsa.

"Fifa dan Uefa secara bersama memutuskan bahawa semua pasukan Rusia, sama ada skuad kebangsaan atau kelab, akan digantung daripada menyertai kedua-dua pertandingan di bawah Fifa dan Uefa sehingga diberitahu kelak," kata kenyataan bersama.

RFU bertindak balas pada Isnin lalu dengan mengecam penggantungan itu sebagai satu 'diskriminasi'.

Kenyataan RFU menyatakan bahawa mereka dilayan secara tidak adil dan percaya Fifa serta Uefa tidak mempunyai asas perundangan kukuh apabila memutuskan untuk menggantung pasukan Rusia.

"Ia melanggar hak asasi RFU sebagai ahli Fifa dan Uefa, termasuk hak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan.

"Kesatuan Bola Sepak Rusia juga tidak diberikan hak untuk mengemukakan pendiriannya, yang melanggar hak asasi untuk mempertahankan diri," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2022 @ 8:53am
d