Bola Sepak

PSG kerja keras kekalkan Mbappe

Oleh AFP

Paris: Pengarah sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo berkata kelab itu akan melakukan 'segala-galanya' dalam bidang kuasa mereka untuk melanjutkan kontrak Kylian Mbappe ketika Real Madrid mahu menyambarnya secara percuma.

Bintang Perancis itu sudah sekian lama dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid, yang dilaporkan mengemukakan tawaran yang tidak berjaya bernilai 180 juta euro (RM830.7 juta) untuk Mbappe, Ogos lalu.

Di sebalik ketibaan pemenang Ballon d'Or tujuh kali, Lionel Messi, Mbappe sudah membuktikan statusnya selaku pemain utama dalam usaha PSG untuk menjulang kejayaan di pentas Eropah.

24 gol yang diraihnya musim ini mudah mengatasi jaringan kedua terbanyak pasukan itu, Messi dengan tujuh gol.

Pemain berusia 23 tahun itu menyamai jumlah jaringan Zlatan Ibrahimovic dengan 156 gol sepanjang menyarung jersi PSG. Hanya Edinson Cavani yang menjaringkan lebih banyak gol untuk kelab itu iaitu 200.

"Selagi tiada tandatangan, kami akan mencuba segala-galanya. Kami akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkannya," kata Leonardo kepada harian sukan Perancis, L'Equipe.

Beliau juga menafikan dakwaan media Sepanyol dan Perancis bahawa kelab itu menawarkan Mbappe gaji tahunan sebanyak 50 juta euro (RM230.7 juta) sebagai tambahan kepada bonus kesetiaan bernilai 100 juta euro (RM461.4 juta)

"Ia tidak benar, kami tidak membuat tawaran khusus," kata Leonardo, yang percaya aspek kewangan bagi sebarang perjanjian baharu adalah perkara kedua di mata Mbappe.

Disiarkan pada: March 4, 2022 @ 12:13pm
d