Bola Sepak

KL City, Selangor FC sama liat

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selangor FC terlepas takhta 'Raja' Lembah Klang apabila diikat Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Walaupun mendahului pada satu ketika, kelebihan itu gagal dikekal skuad Red Giants apabila terpaksa akur dengan kebangkitan KL City yang hadir dengan reputasi selaku juara Piala Malaysia musim lalu itu.

Dalam aksi itu, kerancakkan perlawanan sedikit terganggu apabila hujan lebat menyebabkan aksi terpaksa bermula lewat dengan sepak mula pada jam 9.30 malam.

Pelawat terlebih dahulu berada di depan selepas bola tandukan Hyuri Henrique ditampan pertahanan KL City, Irfan Zakaria sebelum menerjah gawang pada minit ke-18.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila seminit selepas itu Zhafri Yahya meledak gol cantik untuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Selangor bagaimanapun kembali di depan pada minit ke-27 hasil sepakan penalti Herlison Caion selepas dia dijatuhkan Kenny Pallraj.

Kedudukan itu berubah lagi apabila Hadin Azman menanduk masuk bola hantaran kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-32 untuk KL City sekali lagi menyamakan kedudukan.

Perlawanan terus rancak dengan giliran skuad City Boys pula berada di depan selepas 15 minit bersambung babak kedua hasil jaringan Ryan Lambert.

Malah, Selangor lebih bernasib baik apabila sekali lagi mendapat sepakan penalti pada minit ke-78 selepas bola terkena tangan Irfan dan peluang itu tidak disia-siakan Caion untuk meledak gol penyamaan Selangor yang menyaksikan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, penampilan sulung Sarawak United FC dalam saingan Liga Super musim ini berakhir dengan kepedihan apabila tewas 1-0 kepada naib juara, Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.

Di Stadium Likas, Sabah FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas1-0 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) pada saingan pembukaan Liga Super 2022.

Gol tunggal juara Liga Perdana musim lalu itu diperoleh menerusi Khair Jones pada minit ke-51 yang menerima hantaran rakan susulan sepakan percuma di depan gawang tuan rumah.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 12:45am
d