Bola Sepak

Tiada pengurus boleh ubah Spurs dengan pantas - Conte

Oleh Agensi

London: Antonio Conte berkata tiada pengurus di dunia ini boleh memberi penyelesaian pantas untuk isu Tottenham kerana ia sudah wujud sejak 20 tahun lalu.

Pengendali Itali yang dilantik sebagai bos Spurs pada November lalu, berkata tugas untuk membawa kelab dari Utara London yang dahagakan kejuaraan itu lebih sukar daripada apa yang dijangkakannya.

Selepas kemenangan dalam liga mengatasi Leeds 4-0, mereka tewas 0-1 kepada Middlesbrough dalam saingan Piala FA dan terus melebarkan kemarau trofi selama 14 tahun.

Bercakap menjelang pertembungan di tempat sendiri menentang Everton pada Isnin ini, Conte berkata: "Saya sentiasa bercakap mengenai perkara ini sejak hari pertama saya. Kisah Tottenham seperti ini, banyak pasang surut.

"Tapi untuk berdaya saing, cuba memenangi sesuatu, berjuang untuk sesuatu yang lebih penting dan menjadi pasukan yang kuat, perkara pertama yang perlu dilakukannya ialah stabil dan mengelak dari jatuh.

"Untuk melakukannya ini dan mengubah situasi ini selepas berlaku selama bertahun-tahun dia Tottenham, ia tidak mudah.

"Dalam masa yang singkat adalah mustahil untuk melakukannya, bukan saja untuk saya tapi bagi mana-mana pengurus atau jurulatih untuk masuk dan mengubah cerita dalam satu saat adalah mustahil.

"Terutama apabila kelab ini berada dalam situasi ini selama 20 tahun.

Kekalahan Spurs 0-1di Burnley bulan lalu menyebabkan Conte mempersoalkan kelab, pemain dan kedudukannya sendiri namun yang mengejutkan dia kelihatan tenang selepas kekalahan di Riverside.

"Yang pasti, kadang-kadang anda perlu kecewa. Saya fikir ia adalah perkara biasa untuk marah apabila kita kalah.

"Satu perkara ialah marah apabila kami kalah dan satu lagi bercakap tentang reaksi dan emosi saya.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 11:36am
d