Bola Sepak

Usah rosakkan keindahan bola sepak- Mora

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun menang 1-0 menewaskan Penang FC pada aksi Liga Super namun pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tampak kurang gemar dengan penampilan pasukan itu yang mengamalkan corak 'berkampung' di kawasan sendiri dan sering terbaring di padang.

Mora berkata, beliau agak sedih dengan penampilan skuad kendalian Tomas Trucha yang sepatutnya mengamalkan corak permainan bola sepak yang terbuka dan bukannya melihat pemain lawan kerap terbaring di padang selain mempratikkan permainan parkir bas.

"Sebagai pemain profesional beraksi di liga profesional, bukan sahaja JDT malah semua pasukan dalam liga utama negara ini harus tampil dengan corak permainan terbuka dan menghiburkan dan dari situ bola sepak Malaysia akan berkembang.

"Bukannya kerap melambatkan permainan dengan sering terbaring di padang dan mengamalkan corak permainan bertahan dan anda sendiri lihat sekurang-kurangnya lapan dan sembilan pemain Penang FC berada di kawasan kotak penalti.

"Jika ingin bermain secara bertahan tiada masalah, sebaliknya perlulah membuat serangan balas dan bermain secara terbuka dan itu adalah strategi taktikal tapi sepanjang 90 minit kami tidak bermain bola sepak yang sepatutnya," katanya.

Ditanya mengenai tindakan mengeluarkan Moussa Sidibe, pengendali kelahiran Mexico menegaskan terpaksa ubah corak permainan apabila tiada ruang untuk bergerak di posisi tengah selepas pemain Penang FC mengamalkan corak permainan kompak di posisi tengah dan pertahanan.

Sementara itu, pemain tengah JDT, Natxo Insa enggan mengulas lebih lanjut mengenai corak permainan bertahan skuad Harimau Kumbang dan menyifatkan taktikal yang diamalkan pasukan itu adalah strategi dalam usaha memburu keputusan seri pada aksi itu.

"Apapun yang mengecewakan adalah sikap pemain lawan yang kerap terbaring di padang sehingga pegawai fisioterapi mereka sering masuk ke padang dan ini menyebabkan sekurang-kurang tempoh 20 minit permainan hilang begitu sahaja.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 2:16pm
d