Bola Sepak

Feichtenbeiner berang sikap skuad lawan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tindakan melengah-lengahkan permainan ketika mendahului pada babak kedua oleh pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) nyata tidak disenangi pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner.

Jelas jurulatih dari Jerman itu, sikap berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan ia amat memalukan.

Katanya, pengadil perlawanan sepatutnya memberi tambahan masa pada waktu kecederaan selepas beberapa kali pemain KL City sengaja melengah-lengahkan permainan.

"Ini pandangan saya, kami pasukan lebih baik di mana kami mencipta lebih banyak peluang dan mengawal aksi.

"Di babak kedua mereka mendahului dan cuba melambatkan-lambatkan permainan dan saya tak berapa suka dengan cara permainan begitu tetapi…ia mereka boleh berbuat begitu apabila mendahului, tapi sudah tentu kami layak meraih gol penyamaan.

"Ia bagus untuk pemain yang mereka mahukan kemenangan dan mentaliti untuk menang semua aksi cukup penting. Pada saya ia situasi agak memalukan hanya empat minit tambahan masa diberikan, cara untuk mengubah sikap lewatkan permainan adalah dengan pengadil memberi tambahan masa yang lebih dan situasi ini berlaku di banyak negara.

"Tetapi di sini apabila mendahului, pemain tiba-tiba mengalami kecederaan dan saya tak nampak pun pemain itu terbabit dengan pergelutan dengan bola," katanya pada sidang selepas berakhir aksi kedua-dua pasukan yang menyaksikan terikat 3-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu.

Pada aksi itu, Selangor mensia-sia peluang meraih tiga mata apabila dua kali mendahului tuan rumah namun gagal mempertahankan kelebihan.

Pelawat terlebih dahulu di depan menerusi tandukan Hyuri Henrique pada minit ke-18, sebelum Zhafri Yahya meledak gol penyamaan seminit kemudian.

Selangor bagaimanapun kembali memimpin aksi hasil sepakan penalti Herlison Caion di minit 27 namun sekali lagi skuad Warga Kota mengikat menerusi jaringan Hadin Azman di minit 32.

KL City yang muncul juara Piala Malaysia musim lalu tampil lebih tersusun di babak kedua apabila mendahului hasil sentuhan Ryan Lambert minit ke-60 sebelum Caion sekali lagi menyempurnakan penalti di minit 78 untuk masing-masing meraih satu mata.

"Pemain menunjukkan aksi yang baik dan kami bangkit (di hujung babak kedua) dan meraih gol penyamaan, dan Caion dapat gol ketiga dan ia keputusan yang adil buat kami," kata Feichtenbeiner.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 3:02pm
d