Bola Sepak

Lakonan Vitor perdaya pengadil

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Apa yang sudah jadi pada tonggak pertahanan tengah Penang FC, Rafael Vitor pada minit ke-34 ketika aksi antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi?

Adakah jatuh disebabkan oleh tolakan angin atau tiba-tiba lututnya lemah lalu gagal berdiri dan jatuh?

Atau sebenarnya satu tindakan simulasi yang sengaja dilakukan bagi menipu pengadil perlawanan?

Namun berdasarkan ulang tayang perlawanan terbabit yang turut disiarkan secara langsung menyaksikan Vitor seolah sengaja menjatuhkan badannya ketika penyerang import JDT, Moussa Sidibe jelas langsung tidak menyentuh pertahanan Penang itu.

Begitupun, apa yang dilakukan Vitor berjaya memperdaya pengadil untuk memberi sepakan percuma kepada pasukan ketika tuan rumah bertubi-tubi menyerang kubu lawan.

Mungkin situasi itu cukup kelakar jika ulang tayang dilihat secara berulang namun sebenarnya ia menunjukkan betapa lemahnya mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).

Di laman sosial menyaksikan pelbagai reaksi peminat yang menyifatkan tindakan Vitor itu tiada semangat kesukanan apabila secara terang menipu pengadil.

Malah, ada yang meminta agar penggunaan video bantuan pengadil (VAR) disegerakan dalam saingan Liga M.

"Saya tidak faham kenapakah bola tak boleh terima video referal macam hoki dan rugbi buat. Sistem yang hoki buat itu amat 'simple'. Hanya kamera TV saja dan 'replay slow slow'," tulis Zulkhairi Ghazali.

Ada juga yang mengusik, "kena jari kelenking tuu", tulis ntahlahxtau.

Dalam aksi itu, JDT hanya berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC yang mengamalkan corak permainan bertahan sepanjang aksi.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 6:07pm
d