Bola Sepak

Nampak seronok tapi sukar - Guardiola

Oleh Reuters

Manchester: Manchester City berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali kelima berturut, satu-satunya pasukan England yang melakukannya pada lima musim terakhir.

Pencapaian itu masih lagi teguh di bawah bimbingan Pep Guardiola kerana beliau sentiasa laparkan kejayaan yang belum pernah diraihnya sepanjang berada di City.

"Dekad terakhir, selangkah demi selangkah, kelab ini berkembang dan selama bertahun-tahun kami berada di sana dalam Liga Juara-Juara dan layak ke pusingan 16 terakhir.

"Sekarang sekali lagi kami berada di suku akhir dan antara lapan pasukan terbaik di Eropah. Apabila saya layak ke suku akhir, saya menikmatinya, begitu juga jika layak ke 16 terakhir. Saya tahu betapa sukarnya (untuk sampai ke tahap demikian)," katanya.

City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat keputusan seri 0-0 ketika berdepan Sporting Lisbon pada perlawanan kedua 16 terakhir dan mara menerusi agregat 5-0.

Mereka sudah bekerja keras dengan membelasah wakil Portugal itu pada perlawanan pertama tiga minggu lalu di Lisbon dan mengambil pendekatan lebih santai ketika aksi timbal balik di Stadium Etihad.

Guardiola melakukan beberapa perubahan kepada pasukan utamanya, dengan salah seorang daripada pemain yang disenaraikan, Raheem Sterling - hampir menjaringkan gol pada separuh masa pertama selepas percubaan jarak dekatnya diselamatkan.

Penyerang Brazil Gabriel Jesus, membuat penampilan pertamanya di Liga Juara-Juara musim ini, namun jaringannya pada separuh masa kedua dibatalkan

kerana ofsaid selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 10:10am
d