Bola Sepak

Pemain leka jadi punca kalah teruk - Ahmad Nurfaizal

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Terlalu leka dan membiarkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) bermaharajalela di posisi tengah menjadi punca utama Sarawak United FC tewas 6-0 kepada JDT pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah penolong ketua jurulatih Sarawak United FC, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah yang hadir ke sidang media bagi menggantikan ketua jurulatih, B Satianathan yang terpaksa bergegas pulang ke Kuala Lumpur selepas mendapat berita mengenai ibunya yang kritikal mengakui pemain pasukan itu tidak mampu menandingi kepantasan corak permainan skuad kendalian Benjamin Mora.

"Kelekaan daripada pasukan sendiri, malah kita boleh lihat juga dari aspek pertahanan yang longgar dan kami beraksi menentang JDT yang adalah pasukan hebat. Ditambah pula kami terpaksa bermain dengan 10 pemain pada babak kedua.

"Serangan daripada JDT mudah tembus benteng pertahanan kami dan juga menjadi punca kami kalah besar dalam perlawanan itu. Untuk aksi menentang JDT kami sudah merancang untuk menyerang dan bertahan secara berpasukan tapi semuanya tidak menjadi apabila pasukan tuan rumah mudah membolosi benteng kami.

"Di awal permainan dalam tempoh 10 hingga 15 minit, kami cuba beri tekanan kepada JDT dengan melakukan serangan tapi sukar menandingi kualiti mereka yang beraksi baik dan tersusun tanpa membuat kesilapan," kata Ahmad Nurfaizal.

Menurutnya, kehadiran beberapa muka baharu termasuk pemain import Ahmad Tasnim (Fitri Mohd Nasir) dan Francis Kone selain lebih kurang lapan ke sembilan pemain baharu masih belum dapat rentak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih (Satianathan).

Malah berita tentang ibu Satianathan yang kritikal dan pengendali itu terpaksa pulang ke Kuala Lumpur sedikit menjejaskan tumpuan pemain, namun enggan meletak kegagalan mencipta keputusan positif sebagai alasan.

"Aksi seterusnya kami akan menentang pasukan dari Liga M3 di laman sendiri, Ahad ini dan selepas itu liga akan berehat dan kembali beraksi pada 5 April ini dan peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam pasukan," katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 1:06pm
d