Bola Sepak

Perlawanan babitkan Chelsea tetap diteruskan

Oleh Agensi

London: Aksi Chelsea berdepan Norwich awal pagi ini tetap diteruskan sekalipun pelbagai drama yang mengiring kelab itu di luar gelanggang.

Skuad The Blues berkunjung ke Carrow Road pagi ini bagi saingan Liga Perdana Inggeris.

Kelab Inggeris itu mengesahkan perlawanan akan tetap dilangsungkan dengan poster yang dimuatnaik di Twitter menampilkan pengurus kelab itu Thomas Tuchel sebagai juruhebah radio popular berpangkalan di Norwich sambil memegang cawan tertera 'juara dunia' berlatarkan stadium Norwich.

Mereka kemudian memuatnaik klip video menarik N'Golo Kante mengumumkan: "Tuan-tuan dan puan-puan, hari ini adalah hari perlawanan."

Pengesah itu hadir sejurus selepas pemilik Chelsea, Roman Abramovich disenaraikan dalam individu yang dibekukan aset mereka oleh Kerajaan United Kingdom berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Ia bermakna jutawan oligarki Rusia berdepan keseluruhan asetnya dibekukan, dilarang daripada memasuki Britain dan melakukan urusan perniagaan di Britain.

Abramovich pada minggu lalu mengumumkan bahawa dia akan menjual Chelsea, selepas membeli pasukan Liga Perdana Inggeris itu pada 2003 dan pembiayaannya membawa kejayaan di peringkat domestik dan Eropah.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 10:08pm
d