Bola Sepak

Peluang pasukan Liga M3 cipta kejutan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas dua musim terpaksa dikorbankan berikutan pandemik Covid-19, kini saingan Piala FA kembali menghangatkan suasana bola sepak tempatan bermula dengan persaingan pusingan pertama minggu ini.

Sebanyak 16 aksi membabitkan 32 pasukan dari Liga Super, Liga Perdana dan Liga M3 akan bersaing dalam format kalah mati untuk mara ke pusingan kedua.

Biarpun enam perlawanan membabitkan 12 pasukan terpaksa ditunda ekoran terdapat penularan jangkitan Covid-19, kerancakan Piala FA tetap terasa dengan peluang buat pasukan amatur memberikan saingan kepada pasukan elit tanah air.

Lapan pasukan Liga Super dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi lawan masing-masing apabila semua kelab itu diundi menentang kelab dari Liga M3.

Antaranya pertembungan Selangor FC bertemu Harini FT, Johor Darul Ta'zim menentang BRM FC, Kuala Lumpur City berdepan Langkawi City FC serta Kedah Darul Aman FC bertemu Sains FC, sekali gus tiada alasan buat 'pasukan kayangan' terbabit melepasi lawan mereka.

Begitupun tugas sukar buat Petaling Jaya City (PJ City) dari Liga Super apabila dijadual menentang bekas juara Piala FA sebanyak dua kali, Kelantan FC yang kini muncul pendahulu Liga Perdana.

Di atas kertas peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan PJ City berkelebihan beraksi di halaman sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Namun harus diingat bahawa penyokong setia The Red Warriors sebenarnya cukup ramai di Lembah Klang dan tidak mustahil tempat duduk di Stadium MBPJ bakal bertukar Merah Putih dengan kehadiran penyokong Kelantan FC di venue itu.

Untuk rekod, Kedah adalah juara bertahan Piala FA apabila memenanginya pada 2019 selepas berjaya menjinakkan Perak FC 1-0 dalam masa tambahan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Disiarkan pada: March 11, 2022 @ 10:04pm
d