Bola Sepak

Sains FC layu di Darul Aman

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan skuad Liga M3 Sains FC 4-0 dalam saingan Piala FA yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Skuad Sang Kenari kendalian Aidil Sharin Sahak yang menyenaraikan lebih ramai pemain muda tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Sains FC pada minit ke-18 menerusi pemain sayap, Fayadh Zulkifli yang meledak rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Jibrail Kamaron Baharin.

Kedah yang lebih mendominasi perlawanan melakukan beberapa percubaan dan gerakan bahaya daripada Aiman Afif dan Fayadh namun peningkatan jentera pertahanan Sains FC selepas dibolosi sedikit menyukarkan Kedah bergerak bebas di ruang hadapan gol hingga ke penghujung babak pertama.

Kedah tampil lebih garang sebaik babak kedua bersambung dengan jaringan gol kedua Fayadh menyusul dua minit selepas itu hasil rembatan kencang ke gawang lawan.

Belum sempat Sains FC meredakan keadaan, Kedah sekali lagi menghukum skuad kendalian ketua jurulatih Leong Hong Seng itu dengan gol ketiga menerusi Ameer Azahar pada minit ke-50.

Benteng Sains FC terus menjadi sasaran serangan berterusan jentera Kedah dan ketajaman sepakan percuma yang diambil Ameer Azahar pada minit ke-59, membolehkan gol keempat Kedah terhasil.

Kedudukan jaringan empat gol tanpa balas itu kekal hingga ke penghujung perlawanan.

Disiarkan pada: March 12, 2022 @ 11:11pm
d