Bola Sepak

JDT mudah benam BRM FC

Oleh Rizar Mohd Noor

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah melangkah ke pusingan kedua selepas menang 10-0 ke atas kelab dari Liga M3, BRM FC pada aksi pusingan pertama kalah mati saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas bola sepakan lintang Safawi Rasid menyaksikan Fernando Forestieri pantas merembat bola menewaskan penjaga gol BRM FC, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Anak didik Mora enggan memberi muka buat pasukan pelawat apabila menambah jaringan pada minit kelapan berpunca daripada bola rembatan deras Forestieri yang ditampan Kamarul Effandi tepat ke kaki Safiq Rahim yang sekadar menolak untuk meletak kedudukan 2-0.

Aksi JDT dan BRM FC ibarat langit dan bumi apabila tuan rumah terus menambah derita kelab dari Kuala Kangsar itu pada minit ke-19 selepas bola sepakan Safawi dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang menyaksikan Kamarul Effandi tergamam melihat bola menerjah jaring.

Walaupun beraksi ketika hujan namun kelancaran permainan memberi kelebihan buat JDT untuk menambah jaringan pada minit ke-25 selepas bola umpan Safiq di dalam kotak penalti membolehkan Forestieri mencetak gol kedua peribadi bagi memastikan tuan rumah selesa dengan kedudukan 4-0.

Tindakan pemain pertahanan pelawat yang mengasari Bienvenido Maranon di dalam kotak penalti pada minit ke-42 menyaksikan pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Forestieri melengkap jaringan hatrik untuk memastikan JDT melangkah masuk ke bilik persalinan bagi mengakhiri babak pertama dengan jaringan 5-0.

Bersambung babak kedua. skuad Harimau Selatan mendominasi perlawanan tanpa memberi ruang buat BRM FC mencari ruang mengasak ke kubu tuan rumah malah terus menghukum kealpaan benteng pelawat pada minit ke-56 selepas Mauricio menanduk bola hasil sepakan sudut Safiq.

Tindakan Mohamad Haiqal Afendi Norizat Anuar mengasari pemain gantian Mohamadou Sumareh di dalam kotak penalti mengundang padah bukan sahaja dihadiahkan sepakan penalti kedua buat JDT malah pemain itu dilayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah oleh Khirulazuan yang menyebabkan BRM FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Pemain gantian, Moussa Sidibe yang diberi tugas mengambil sepakan penalti pada minit ke-69 begitu tenang menyepak bola masuk menewaskan Kamarul Effandi manakala Daryl Sham George yang pertama kali beraksi bersama JDT turut menyumbang gol pada minit ke-82.

Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan Sumareh mencetak nama selaku penjaring dan Daniel Amir Norhizam turut menjaringkan gol pada masa tambahan bagi memastikan JDT menang besar 10-0 pada perlawanan itu.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 10:53pm
d