Bola Sepak

Man United tempang tanpa Fernandes

Oleh Agensi

London: Bruno Fernandes positif Covid-19 dan dijangka terlepas perlawanan penting Manchester United di tempat sendiri menentang Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu.

Pemain tengah itu tidak beraksi ketika United melakar kemenangan 3-2 ke atas Tottenham di Old Trafford kerana tidak sihat tetapi pengendali sementara, Ralf Rangnick ketika itu tidak menjelaskan secara terperinci bahawa Fernandes dijangkiti Covid-19.

David de Gea sebelum ini turut positif Covid-19 tetapi ujian terbaru menyaksikannya dia sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan beraksi.

Kebimbangan terhadap wabak itu memaksa United membatalkan perancangan mereka untuk menginap di Hotel The Lowry pada malam sebelum perlawanan dengan Tottenham dan pemain tiba untuk perlawanan di Old Trafford secara berasingan.

Rangnick berharap Scott McTominay dapat pulih daripada kecederaan betis dan menjangkakan Luke Shaw akan kembali menjalani latihan selepas terlepas perlawanan bertemu Tottenham dan Manchester City kerana Covid-19.

"Saya tak pasti," kata Rangnick mengenai situasi Fernandes.

"Scott pula sebelum ini mempunyai masalah otot. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk tidak menurunkannya

"Saya harap Luke akan kembali menjalani latihan dan untuk Bruno, kami perlu melihat keadaannya sehingga Selasa. Dia kesuntukan masa kerana Covid-19."

Disiarkan pada: March 14, 2022 @ 10:45am
d