Bola Sepak

Ahmad Khuzaimi sertai kem latihan Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon terpaksa memanggil tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee selepas dua pemain memohon pelepasan sebelum seorang lagi menolak panggilan latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula hari ini.

Jelas Pan-gon, pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari memohon pengecualian selepas mendapat cahaya mata kembar tiga.

Kekosongannya kemudian diisi seorang lagi tonggak pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali namun ia ditolak oleh pemain kelahiran Baling, Kedah itu.

Lantas, Khuzaimi yang berada dalam senarai menunggu sebelum ini dipanggil bagi mengisi tempat yang ditinggalkan Syahmi itu.

"Ahmad Khuzaimi menggantikan Syahmi Safari, dari Johor Darul Ta'zim FC, yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.

"Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan.

"Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri," katanya.

Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua aksi persahabatan menentang Filipina dan Singapura yang dijadual berlangsung dari 23 dan 26 Mac ini di Singapura.

Ia sebagai persediaan untuk menghadapi ujian sebenar Jun nanti apabila Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk aksi Kumpulan E dengan Bahrain, Bangladesh dan Turkmenistan bakal mencabar skuad negara.

Sementara itu, Pan-gon mengucapkan tahniah kepada Syahmi di atas kelahiran anaknya, di mana sebelum ini bekas pemain Selangor FC itu pernah menempuh dugaan besar apabila anak perempuannya yang baru lahir meninggal dunia Mei tahun lalu.

Disiarkan pada: March 14, 2022 @ 5:41pm
d