Bola Sepak

Tuchel sedia pandu kereta ke Lille

Oleh Agensi

London: Thomas Tuchel menegaskan dia akan memandu kereta tujuh tempat duduk jika terpaksa demi memastikan Chelsea dapat menentang Lille dalam aksi Liga Juara-Juara pagi Khamis ini.

Blues berdepan beberapa larangan minggu ini susulan keputusan kerajaan United Kingdom yang menyenarai hitam pemilik kelab, Roman Abramovich dan membekukan hartanya.

Antara sekatan dikenakan, juara Eropah itu dilarang berbelanja lebih £20,000 (RM109,000) untuk sebarang perjalanan membabitkan perlawanan di tempat lawan.

Penyokong Chelsea berjenaka minggu ini apabila mencadangkan kelab menaiki Megabus ke Perancis untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Lille tetapi Tuchel turut mempunyai perancangan sendiri.

Susulan kemenangan 1-0 Blues ke atas Newcastle kelmarin, pengendali dari Jerman itu menyuarakan kebimbangan mengenai perjalanan ke tempat lawan selain menegaskan dia akan memandu kereta utiliti sukan (MPV) tujuh tempat duduk bagi memastikan Chelsea dapat beraksi perlawanan peringkat kedua di Lille.

"Maklumat terakhir saya perolehi kami mendapat kapal terbang dan akan ke sana dan pulang dengan kapal terbang," kata Tuchel.

"Jika tidak, kami naik keretapi atau jika tidak dapat juga, saya akan memandu kereta tujuh tempat duduk. Jujur, saya akan melakukannya. Anda boleh pegang kata-kata saya. Saya akan sampai ke sana.''

Pengendali Chelsea itu mendedahkan dia akan melakukan apa sahaja untuk sampai ke Perancis demi memenuhi impian menyaksikan kelab kendaliannya beraksi di Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 10:34am
d