Bola Sepak

Pang-gon mahu pacu skuad kebangsaan ke peringkat tinggi

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Saya mahu bawa pasukan ke arah lebih tinggi dengan menekan asas permainan bola sepak moden menerusi aksi berintensiti tinggi dan permainan pantas".

Itu antara tiga daripada dua aspek yang menjadi fokus utama pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang mengakui berhasrat mahu membentuk asas permainan moden seperti digunakan kuasa bola sepak Asia, Korea Selatan.

Beliau yang berasal dari Korea menegaskan, satu lagi fokus pasukan adalah membina kepercayaan diri pemain yang dilihat seolah tidak yakin dengan kemampuan sendiri walaupun sebenarnya mereka memiliki kualiti dan kemahiran yang baik.

"Mereka (pemain) bagus tapi mereka seolah-olah tak percaya yang mereka sebenarnya bagus. Jadi saya nak mereka sedar yang mereka bagus, macam yakin pada diri sendiri dan itu yang pertama.

"Selepas itu kita mahu terapkan model permainan yang kita mahu gunakan dan mengikut kesesuaian perlawanan secara taktikal dan teknikal malah kita akan usahakan sebaik mungkin.

"Perlu ingat, ini adalah sebahagian daripada tuntutan dalam bola sepak moden ketika ini dengan menekankan permainan berintensiti tinggi dan pantas.

"Kalau kita tak dapat lakukan (terapkan tiga elemen itu), kita akan turun bermain dan kita akan tewas. Apa yang kita ada kita akan usaha dan saya ingin mahu bawa pasukan ke arah itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad negara kini dalam persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac ini sebelum berdepan Singapura tiga hari kemudian dengan kesemua aksi berlangsung di Kota Singa.

Ia sebagai medan persediaan beraksi di Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 11:02pm
d