Bola Sepak

Atletico Madrid singkir Man United

Oleh AFP

Manchester, United Kingdom: Penjaga gol Manchester United, David de Gea mengakui mereka tidak cukup bagus apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas 0-1 kepada Atletico Madrid dalam saingan 16 terakhir awal pagi tadi.

Renan Lodi menjaringkan gol tunggal menerusi tandukan pada babak pertama di Old Trafford bagi membolehkan juara Sepanyol mara ke suku akhir dengan agregat 2-1.

"Kami sangat kecewa dengan keputusan itu. Sukar kami jelaskan perasaan ketika ini. Kami gagal melakukan dengan sebaiknya dalam kedua-dua perlawanan dan ia hari paling mengecewakan buat kami," kata De Gea kepada BT Sport.

"Mereka pasukan banyak pengalaman dan tahu cara bermain di Liga Juara-Juara. Mereka menjaringkan gol dan mantap, sukar untuk kami mencipta peluang. Kini kami tersingkir daripada salah satu kejohanan terpenting dan kami sangat kecewa."

United hanya dua kali mara ke peringkat lapan terakhir kejohanan elit Eropah itu sejak Alex Ferguson bersara pada 2013. Trofi terakhir mereka diperolehi lima tahun lalu ketika muncul juara Liga Europa.

"Sudah tentu tidak cukup bagus. Ia sangat sukar untuk kelab, kami dan penyokong," said De Gea.

"Inilah situasi kami ketika ini. Situasi sukar tapi kami perlu teruskan perjuangan. Saya sangat kecewa. Kami tidak cukup bagus."

Disiarkan pada: March 16, 2022 @ 7:29am
d