Bola Sepak

TMJ bongkar rahsia

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Rahsia bintang bola sepak dunia, Lionel Messi yang tidak beraksi menentang skuad negara dalam aksi persahabatan sembilan tahun lalu akhirnya dibongkarkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, ketiadaan Messi di atas padang ketika itu adalah disebabkan masalah padang yang tidak menepati standard antarabangsa.

"Saya rasa awak semua sedia maklum apabila satu peristiwa di mana Barcelona ke mari (Kuala Lumpur), Lionel Messi pemain terbaik dunia tak nak main oleh kerana kualiti padang," katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Jelasnya, tindakan pemenang Ballon d'O Fifa atau pemain terbaik dunia sebanyak tujuh kali itu sepatutnya memberi pengajaran kepada negara supaya segera menggunakan jenis rumput yang sesuai untuk perlawanan antarabangsa.

"Itu adalah satu tamparan hebat kepada kita pada masa itu, dan sepatutnya dah ada 'wake up call' untuk tukar kualiti padang," katanya.

Terdahulu, Tunku Ismail hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meninjau usaha untuk menaja kos penukaran rumput daripada jenis Cowgrass kepada Zeon Zoysia.

Dalam lawatan itu, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menghulurkan sumbangan sejumlah RM1.4 juta dengan kerja-kerja menukar dan penyelenggaraan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil akan bermula pada Januari tahun depan.

Untuk rekod, pada 2013 lalu skuad Barcelona pernah bertandang ke ibu negara bagi menghadapi aksi persahabatan dengan skuad negara yang menyaksikan Malaysia timbang 1-3.

Perlawanan berkenaan diadakan di Stadium Shah Alam namun jenis rumput yang digunakan di venue berkenaan adalah sama seperti yang terdapat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, peminat agak kecewa ketika itu apabila Messi tidak diturunkan pada perlawanan terbabit biarkan sehari sebelumnya, pemain Argentina itu turun berlatih di Stadium Shah Alam.

Disiarkan pada: March 20, 2022 @ 2:21pm
d