Bola Sepak

Luqman mahu pikat hati Pan-gon

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Mengimpikan aksi lebih sempurna dan efektif apabila berada di kotak penalti adalah kelemahan yang mahu diperbaiki penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Jelas pemain yang beraksi di Liga Belgium bersama KV Kortrijk itu, dia menilai persembahannya dalam dua kejohanan bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini pada tahap biasa dan mengakui masih tidak berpuas hati.

Katanya, dia mahu membuktikan sesuatu di bawah kendalian Kim Pan-gon ketika ini sekali gus cuba memikat perhatian pengendali dari Korea Selatan itu.

"Saya pernah bermain di Dubai (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) dan Piala AFF (di Singapura), jadi kelemahan sebelum ini perlu diperbaiki. Saya tahu kelemahan sendiri, saya kena belajar daripada kesilapan.

"Mungkin saya tidak berpuas hati dengan persembahan sebelum ini, jadi saya kena tunjuk balik (kemampuan)," katanya dalam sesi latihan pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebelum ini, Luqman sering diturunkan oleh pengendali terdahulu, Tan Cheng Hoe sebagai pemain gantian di babak kedua bagi menambah sengat di jentera depan.

Walaupun belum mencetak nama selaku penjaring dalam lapan penampilannya bersama skuad senior itu, kemasukannya selaku tonggak gantian dilihat berjaya mengubah rentak pasukan.

Memiliki aset tersendiri iaitu larian deras serta rembatan padu, dia tetap menjadi pilihan Pan-gon bagi membantu jentera serangan negara bagi menghadapi tiga aksi persahabatan di Singapura minggu depan.

Disiarkan pada: March 20, 2022 @ 5:08pm
d