Bola Sepak

Saya tak sanggup tinggalkan pasukan - Yusri Che Lah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Walaupun terkilan dengan krisis dalaman yang melanda Perak FC, pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah meluahkan beliau tidak sanggup 'angkat kaki' meninggalkan pasukannya dalam situasi genting ini.

Malah bekas pengendali skuad Projek FAM-MSN musim lalu itu juga meluahkan beliau tidak sesekali menyesal berhijrah dan akan membimbing pasukan itu walaupun krisis dalaman skuad itu belum pasti bila akan berakhir.

Bekas kapten skuad kebangsaan berusia 46 tahun itu bagaimanapun meletakkan harapan yang tinggi agar kemelut dan konflik di luar padang yang melanda kem pasukan itu segera berakhir bagi memastikan nasib kelab itu tidak terus dirundung malang.

Jelas jurulatih kelahiran Perlis itu, daripada 20 pemain yang didaftarkan musim ini, kini beliau hanya mempunyai 17 pemain yang 'mentah pengalaman' termasuk tiga penjaga gol, lebih parah tiga daripadanya mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang terpaksa berehat panjang.

"Sejujurnya saya agak terkilan dengan apa yang berlaku dalam pasukan, mana-mana jurulatih pun sudah pasti akan merasai keadaan sama kerana hanya mempunyai pemain yang terhad musim ini dan ditambah kurang pengalaman.

"Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, situasi ini paling mencabar kerana pertama kali mempunyai pemain yang begitu terhad selain pemain berkenaan pada awalnya tidak berada dalam perancangan saya musim ini.

"Sayapun tidak pasti sampai bila akan berdepan dengan situasi sebegini, jika ikut peraturan mungkin sehingga jendela kedua perpindahan pemain dibuka, namun ia juga bergantung kepada bayaran denda yang dikenakan kepada pihak pengurusan.

"Tapi saya tidak sesekali menyesal membimbing pasukan ini walaupun tertekan, mungkin saya akan terus bertahan ataupun sebaliknya, saya pun tidak pasti kerana perlu melihat perkembangan seterusnya," katanya.

Mengulas pertemuan kedua pasukannya itu, bekas pemain Selangor itu tidak mahu mencipta alasan sebaliknya akui kekurangan pemain di tambah krisis melanda pasukannya menyebabkan skuad bimbingannya berada dalam tertekan.

Disiarkan pada: March 26, 2022 @ 1:34pm
d