Bola Sepak

Gonzalez tak sabar turun beraksi bersama Sang Kenari

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Aksi Liga Super menentang skuad Sri Pahang pada 6 April menjadi perlawanan dinantikan pertahanan import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Marc Vales Gonzalez selepas kecederaan yang dialamainya kini dilaporkan semakin pulih.

Pemain skuad kebangsaan Andorra berusia 31 tahun ini difahamkan mengalami kecederaan lutut semasa perlawanan pramusim dan terpaksa menjalani sesi pemulihan dan terlepas peluang dalam tiga aksi bersama skuad Sang Kenari sejak Liga Malaysia bermula 4 Mac lalu.

Malah ramai penyokong dilihat menanti kemunculan pemain berpengalaman dari Eropah ini bersandarkan reputasinya yang pernah berdepan pemain ternama dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dan kelayakan Kejohanan Piala Euro sebelum ini ketika mewakili skuad kebangsaannya.

"Saya kini dalam proses pemulihan dan berharap dapat memulakan aksi pertama saya pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman nanti dan itu sasaran saya.

Namun saya memerlukan masa dua minggu untuk kembali pulih pada tahap terbaik dan saya berharap dapat melalui tempoh yang lebih singkat.

"Saya juga tidak sabar untuk beraksi di Stadium Darul Aman yang merupakan laman sendiri selepas ini dengan melihat pada reaksi penyokong semasa ini yang berterusan memberi suntikan semangat untuk pasukan dalam meneruskan misi mencari kemenangan keempat". katanya.

Gonzales juga memuji aksi terbaik semua pemain gantian yang menggantikan posisinya dalam tiga perlawanan untuk skuad Sang Kenari yang menghasilkan kemenangan ketika KDA FC menentang Sarawak United FC, KL City FC dan Sains FC untuk skuad Sang Kenari pada bulan ini.

"Saya melihat Kedah memiliki skuad keseluruhan yang terbaik pada musim ini dengan persaingan yang sihat dikalangan pemain-pemain dalam pasukan dan ini termasuk juga dikalangan pemain gantian." katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2022 @ 5:59pm
d