Bola Sepak

Rentak serangan identiti baharu Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Corak permainan menyerang bakal menjadi identiti baharu skuad Harimau Malaya selepas beberapa eksperimen yang dilakukan dalam tiga aksi persahabatan di Singapura menyaksikan ia cukup 'cocok' dengan gaya permainan pemain negara.

Pengendali skuad negara, Kim Pan-gon mengakui gembira melihat prestasi anak buahnya yang disifatkan memiliki kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan.

Walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci apakah kelebihan yang dimaksudkan, namun berdasarkan persembahan pasukan dalam siri perlawanan persahabatan itu dapat diperhatikan pemain negara cukup pantas terutama ketika melakukan serangan balas.

"Selama 10 hari lalu saya gembira bersama semua pemain, tiada aduan mengenai mereka. Tetapi kami cuba untuk menyelesaikan semua program di sini (Singapura) semestinya kami cuba untuk memperbaiki, lebih positif untuk pemain.

"Bagi saya ia adalah permulaan yang baik, dari semasa ke semasa saya selesa berada di tempat duduk simpanan. Saya sangat yakin dengan prestasi semua pemain.

"Mereka hebat. Malangnya, kami tidak dapat mengubah nasib walaupun banyak peluang. Saya rasa saya lebih cenderung untuk lebih menyerang, kami cuba menjadikan identiti bola sepak malaysia yang lebih positif," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Dalam tiga aksi persahabatan itu, skuad Harimau Malaya merakam dua kemenangan dan satu kekalahan dengan mencatatkan jumlah jaringan tinggi dengan enam gol serta hanya dibolosi sekali.

Pasukan negara membenam Filipina 2-0 yang juga kemenangan pertama Pan-gon selaku jurulatih selepas dilantik bulan lalu sebelum kegembiraan itu terhenti apabila tewas 1-2 di tangan Singapura.

Begitupun, pemain negara bangkit dalam aksi ketiga yang juga perlawanan tertutup menentang kelab Jepun yang beraksi di Liga Singapura, Albirex Niigata dengan meraih kemenangan bergaya 3-0 menerusi jaringan Mohamadou Sumareh (minit kesembilan), Liridon Krasniqi (m-45) dan Faisal Halim (m-65).

Ujian sebenar Pan-gon adalah pada Jun ini di mana pasukan negara bakal menjadi tuan rumah bagi aksi Kumpulan E Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang turut diisi pasukan Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Juara dan lima naib juara daripada enam kumpulan akan layak secara automatik ke China tahun depan bagi menyertai 13 lagi pasukan yang sudah pun layak lebih awal di mana pasukan berkenaan ketika ini sedang bersaing hebat dalam pusingan ketiga Piala Dunia 2022.

Disiarkan pada: March 29, 2022 @ 6:52pm
d