Bola Sepak

Nafuzi akur kehebatan PJ City

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui tanpa kelibat pemain import, pasukan PJ City mampu bermain dengan baik sekali gus menafikan anak buahnya untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata, tempoh rehat terlalu lama menyebabkan anak buahnya agak 'terkejut' pada perlawanan pertama sekali gus membenarkan lawan menyumbat tiga gol untuk selesa memperoleh tiga mata.

Katanya, perlawanan pertama itu memberi banyak pengajaran kepada beliau untuk memperbaiki setiap kelemahan bagi tampil lebih meyakinkan pada perlawanan akan datang.

"Bagi Terengganu, perlawanan pertama ini cukup sukar selepas tiga bulan berehat manakala pasukan lain sudah beraksi awal.

"Perlawanan kompetitif malam ini (semalam) mendedahkan lebih banyak kelemahan dan kesilapan mudah yang dilakukan pemain untuk diperbaiki segera.

"Pada saya untuk menilai secara keseluruhan pada perlawanan pertama ini adalah tidak adil kerana pemain mungkin tidak mempamerkan aksi terbaik mereka selepas lama berehat," katanya.

Perlawanan itu menyaksikan PJ City membuktikan tanpa kelibat pemain import mereka boleh mencipta kejutan apabila menundukkan TFC 3-0.

Walaupun pasukan pelawat menggunakan semua kekuatan pemain import mereka, PJ City hanya menghantar penyerang kacukan, Darren Lok untuk merobek gawang lawan sebanyak tiga kali.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan P Maniam itu merakam kemenangan kedua pada musim ini sementara skuad Penyu jelas perlu bekerja lebih keras dalam aksi seterusnya terutama selepas memulakan liga agak lewat berbanding pasukan lain.

Disiarkan pada: April 7, 2022 @ 5:06pm
d