Bola Sepak

Barathkumar lega dapat balas kepercayaan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pemain tengah skuad Petaling Jaya (PJ) City FC, R Barathkumar akui bangga apabila dapat menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan hasil jaringan penyamaan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Biarpun beraksi sebagai pemain gantian, namun jaringan pada penghujung babak perlawanan itu begitu bermakna sekali gus turut melegakan rakan sepasukan selepas mereka ketinggalan kepada Sri Pahang FC, 0-1.

Jaringan berkenaan yang juga gol pertama Barathkumar musim ini, membolehkan PJ City berjaya membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan itu.

"Saya sedar mempunyai tanggungjawab berat sebaik diarah masuk ke padang sebagai pemain gantian oleh ketua jurulatih, P Maniam, ketika pasukan ketinggalan kepada tuan rumah.

"Fokus saya ketika itu adalah untuk menjaringkan gol bagi menyelamatkan maruah pasukan dan peluang itu saya gunakan sebaiknya untuk menjaringkan gol, yang juga gol pertama bagi musim ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Barathkumar menjaringkan gol buat PJ City pada minit ke-88 selepas pasukan itu ketinggalan menerusi jaringan Manuel Hidalgo pada minit ke-38.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) itu berkata, Pahang adalah pasukan hebat, berpengalaman dan mempunyai ramai pemain berwibawa dan bukan suatu tugas mudah untuk menjinakkan mereka.

"Tambahan pula kami beraksi di tempat mereka iaitu stadium yang sering kali memihak kepada Pahang dan memang sukar untuk mencipta jaringan," katanya.

Menurutnya, dia gembira dapat merealisasikan hasrat pasukan yang sememangnya untuk tidak mahu pulang dengan tangan kosong dan sekurang-kurangnya mendapatkan mata dari Kuantan.

"Saya lega dapat merealisasikan sasaran itu," kata pemain lincah yang meledak lima gol musim lalu bagi membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana.

Disiarkan pada: April 10, 2022 @ 9:39pm
d