Bola Sepak

Tunku Ismail lawat Farizal di hospital

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sifat keprihatinan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap kebajikan dan kecederaan pemainnya cukup menebal sekali gus dipuji.

Terbaharu, kecederaan yang menimpa Farizal Marlias turut mendapat perhatian Tunku Ismail apabila tetap ke hospital untuk bersama-sama penjaga gol utama skuad Harimau Selatan itu.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dilihat berada di sisi Farizal sepanjang rawatan diberikan kepada ketua pasukan JDT itu.

Malah, keadaan pemain kebangsaan itu juga disahkan stabil dan akan terus dipantau pegawai perubatan.

"DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor melawat Farizal Marlias, penjaga gol JDT di hospital berikutan perlanggaran yang berlaku ketika perlawanan dengan Terengganu malam tadi.

"Farizal berada dalam keadaan stabil tetapi akan kekal dalam pemerhatian dan akan menjalani beberapa ujian perubatan.

"Seluruh keluarga JDT mendoakan agar Farizal sembuh dengan segera. Semoga lekas sembuh, Farizal!," kata kenyataan media itu.

Dalam aksi Liga Super itu, Farizal mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan pemain pertahanan, Shane Lowry ketika mahu menghalang gerakan serangan yang dilakukan Terengganu pada babak kedua.

Hasil daripada pertembungan itu, Farizal tidak sedarkan diri dan terus dihantar ke hospital berdekatan bagi membolehkan penjaga gol itu mendapatkan rawatan.

JDT berjaya mengekalkan rekod bersih dalam empat aksi Liga Super setakat ini dengan Terengganu FC menjadi mangsa menerusi kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan Bergson meledak kedua-dua gol itu, sementara Kpah Sherman meraih gol saguhati buat pelawat.

Disiarkan pada: April 11, 2022 @ 2:06pm
d