Bola Sepak

Mora harap dapat turunkan Farizal

Oleh Rizar Mohd Noor

Iskandar Puteri: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tidak menolak menyenaraikan penjaga gol, Farizal Marlias dalam kesebelasan utama apabila berdepan Guangzhou FC pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Mora berkata, apa jua keputusan sama ada Farizal boleh beraksi atau sebaliknya bergantung kepada sesi latihan terakhir malam ini tatkala dia tampak pulih daripada kecederaan di bahagian kening selepas berlanggar dengan Shane Lowry ketika aksi Liga Super, baru-baru ini.

"Belum pasti lagi. Kita akan lihat keadaannya ketika sesi latihan sebelum aksi menentang kelab dari China itu malah Farizal sudah pulih dan dia akan turun beraksi. Apapun belum 100 peratus pasti boleh beraksi pada perlawanan pertama ACL," katanya pada sidang media pra perlawanan hari ini.

Ditanya mengenai persiapan skuad Harimau Selatan menjelang aksi pertama menentang Guangzhou FC, pengendali dari Mexico itu menegaskan barisan pemain sudah bersedia memulakan kempen ACL dan menganggap bertuah apabila Stadium Sultan Ibrahim dipilih menjadi tuan rumah bagi saingan Kumpulan I.

Beliau juga kemungkinan menurunkan Mauricio Dos Santos bagi menguatkan pertahanan kerana peraturan yang ditetapkan dalam saingan ACL adalah tiga pemain dan seorang pemain import kuota Asia atau Asean.

Mengenai aksi menentang skuad bimbingan Pan Yong-he yang bakal menurunkan kebanyakan pemain muda bawah 22 tahun, Mora tidak anggap ia perlawanan mudah walaupun berdepan `pasukan kedua' kelab dari China itu.

"Saya tidak anggap ia mudah kerana mengenali Guangzhou FC yang memiliki akademi bolasepak terbaik di Asia sudah tentu mereka memiliki pemain berkualiti dan kami harus berwaspada dengan ancaman `anak muda' dari China itu dan tidak boleh pandang rendah prestasti pasukan lawan," kata Mora.

Dalam pada itu, pemain tengah Naxto Insa yang musim keempat beraksi bersama JDT pada saingan ACL berharap tuah laman sendiri memberi kelebihan namun tetap berhati-hati dengan corak penampilan pemain muda Guangzhou FC.

"Kita tidak tahu bagaimana corak permainan lawan kerana pemain muda mempunyai keazaman yang berbeza dan sudah tentu mahu buktikan sesuatu. Jadi, kami harus fokus untuk langkah kanan," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2022 @ 3:03pm
d