Bola Sepak

Cheng Hoe ganti Vidakovic?

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas kontrak pengendali Melaka United, Risto Vidakovic ditamatkan, ketika ini sudah bertiup kencang khabar angin pasukan itu mempunyai pengganti.

Difahamkan ketika ini antara nama menjadi sebutan untuk mengisi kekosongan jawatan terbabit adalah bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Nama pengendali berasal dari Kedah itu sememangnya tidak asing lagi kerana sebelum ini pernah dikaitkan dengan skuad Sang Kancil, namun dinafikan beliau.

Turut berada dalam senarai adalah Pengurus Sri Pahang, Dollah Salleh selain bekas pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan turut dikatakan dalam radar pengurusan pasukan itu.

Pemilik Melaka United Datuk Seri Justin Lim ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan ketika ini sememangnya terdapat beberapa nama akan menggantikan Vidakovic dalam waktu terdekat ini.

Justin berkata, selain pengendali tempatan dalam radar pengurusan Melaka United, mereka turut merisik beberapa jurulatih luar negara untuk menggantikan Vidakovic.

"Kami sudah ada nama untuk menggantikan Vidakovic namun setakat ini belum memutuskan mahu menggunakan khidmat jurulatih tempatan atau kekal mengambil pengendali asing.

"Saya tidak boleh sebut nama berkenaan, namun dalam tempoh seminggu lagi akan umumkan jurulatih terbabit," katanya.

Terdahulu, Vidakovic muncul sebagai jurulatih pertama disingkirkan pada musim ini dipercayai berikutan prestasi pasukan yang kurang memuaskan.

Justin pernah memberi amaran kepada Vidakovic supaya tidak menyebarkan hal dalam kelambu kepada umum sehingga memberi tanggapan negatif kepada pasukan Melaka United.

Sebelum ini, Vidakovic mendakwa pasukannya tidak bermaya ketika kalah 0-1 kepada Sabah pada 5 April lalu kerana sudah hampir tiga bulan tidak menerima gaji.

Namun, sebenarnya pasukan terbabit hanya tertunggak sebulan gaji saja sebelum pengurusan menyelesaikan hutang terbabit.

Disiarkan pada: April 15, 2022 @ 6:14pm
d