Bola Sepak

Azam Zuasyraf

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Sebelum ini pemain tengah Terengganu FC (TFC) meningkat naik, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle tidak begitu dikenali secara lebih dekat dalam kalangan peminat setia skuad Penyu.

Namun selepas memperagakan aksi cemerlang termasuk meledak gol kedua skuad bimbingan Nafuzi Zain ketika merakam kemenangan 2-0 menumpaskan Sarawak United FC (SUFC), Ahad lalu di Stadium Negeri, Kuching, nama bekas pemain skuad Terengganu FC II (TFC II) itu kini kian popular dalam laman sosial.

Malah ada penyokong yang memberikan pandangan agar pemain ini dipanggil membarisi skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon.

Bagaimanapun, bekas murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman dan Sekolah Menengah Panji Alam Kuala Terengganu berusia 26 tahun itu enggan dibuai pujian melambung, sebaliknya akui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

Katanya, jika diturunkan pada Jumaat ini menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pemain kelahiran kampung Gong Tok Nasek, dekat sini itu tekad untuk memperagakan aksi terbaik membantu pasukan merakam kemenangan kedua musim ini.

"Saya begitu teruja dapat menjaringkan gol pertama peribadi musim ini pada Ahad lalu lebih-lebih lagi ketika kami beraksi dengan sepuluh pemain apabila penyerang, Kpah Sherman dilayangkan kad merah selepas 25 minit menjaringkan gol pertama pasukan.

"Jika diturunkan sekali lagi menentang Selangor FC pada Jumaat ini, sudah pasti saya mahu memberikan yang terbaik apatah lagi beraksi di tempat sendiri buat kali pertama musim ini.

"Bagaimanapun pesanan buat diri dan rakan sepasukan agar dapat memperagakan aksi terbaik sebagai satu pasukan selain perlu fokus 200 peratus kerana lawan sudah pasti mempunyai misi yang sama untuk merakam kemenangan," katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan kedudukan terkini selepas tiga perlawanan liga, skuad Penyu yang sebelum itu menghuni di tangga tercorot liga kini mendaki dua anak tangga di kedudukan ke-10 dengan mengutip tiga mata.

Disiarkan pada: April 20, 2022 @ 4:51pm
d