Bola Sepak

Menang bukan sebab tuah - Maloney

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bukannya bergantung kepada nasib semata-mata apabila berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Sukan Sea di Hanoi, Vietnam, malam semalam.

Namun, kejayaan terbabit adalah hasil daripada usaha dan komitmen tinggi dipamerkan oleh pemain sepanjang perlawanan sekali gus berjaya memastikan tiga mata penting buat Malaysia.

Pengendali Skuad B-23 negara Brad Maloney berkata, barisan pemainnya tidak bergantung harap kepada 'luck' untuk memenangi perlawanan namun berusaha keras dan mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencipta kemenangan.

Katanya, kemenangan menentang Thailand cukup penting untuk meniup semangat pemain supaya beraksi dengan baik pada baki tiga perlawanan akan datang.

"Saya lihat barisan pemain memberikan persembahan terbaik mereka dengan sentiasa cuba mengawal perlawanan dan menyekat setiap serangan lawan.

"Kesemuanya mereka bekerja keras bagi menjayakan perancangan dan percaturan perlawanan.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pasukan ini juga tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja dan mereka telah buktikannya semalam," katanya.

Terdahulu, pasukan negara bangkit daripada ketinggalan untuk mengejutkan gergasi Asia Tenggara apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand.

Terima kasih kepada dua penyerang muda negara, Ahmad Danial Asri dan Nur Azfar Fikri yang tidak henti-henti menekan kubu Thailand khususnya di babak kedua yang berlangsung Stadium Thien Truong itu.

Setidak-tidaknya kemenangan itu memberi permulaan yang baik untuk skuad negara yang kali terakhir memenangi pingat emas acara bola sepak pada 2011 di Jakarta, Indonesia.

Disiarkan pada: May 8, 2022 @ 1:42pm
d