Bola Sepak

NSFC mahu pertahan rekod tanpa kalah

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) menjanjikan persembahan terbaik apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu ini.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Haniff Johan berkata, dia dan rakan sepasukan skuad Hobin Jang Hobin sememangnya menantikan pertembungan dengan pendahulu carta liga itu bagi menilai kekuatan sebenar pasukannya.

"Pertembungan dengan JDT sememangnya dinantikan bukan sahaja bagi peminat pasukan Negeri Sembilan, tetapi pemain sendiri.

"JDT adalah sebuah pasukan dalam kelas tersendiri bukan kerana mereka juara lapan kali Liga Super tetapi beraksi cemerlang di pentas Liga Juara-Juara Asia.

"Sebagai pendatang baharu dalam Liga Super musim ini, kami amat teruja untuk bertemu dengan JDT bagi menguji kekuatan sebenar pasukan dan melalui perlawanan itu serta keputusan bakal dijelmakan nanti, kami dapat membuat penilaian serta memperbaiki sebarang kelemahan untuk memacu pasukan ke hadapan," katanya, hari ini.

Tonggak berpengalaman berusia 31 tahun itu yang membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Liga Perdana musim lalu berkata, dia dan rakan sepasukan akan beraksi seperti biasa, namun sedar perlawanan itu menuntut setiap pemain menggandakan kekuatan.

Menurut pemain kelahiran Seremban itu, fokus mereka adalah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga yang dicapai ketika ini dan berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, bukan mustahil untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

"Fokus kami tidak mahu tewas kepada JDT dan kami akan berusaha mempertahankan gawang sebaik mungkin, walaupun sedar untuk mencapai sasaran itu bukan mudah.

"Berbekalkan prestasi semasa pasukan yang memberangsangkan ketika ini selepas menang ke atas Sarawak United, Jumaat lalu, diharap momentum berkenaan berterusan, pada Rabu ini," katanya.

NSFC ketika ini menduduki puncak carta liga dengan meraih 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri.

Disiarkan pada: May 9, 2022 @ 6:15pm
d