Bola Sepak

Usah selesa dengan dua kemenangan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Rekod bersih tanpa kalah dalam dua aksi Kumpulan B saingan Sukan Sea di Hanoi, Vietnam setakat ini belum boleh dijadikan jaminan tiket ke separuh akhir sudah berada dalam genggaman skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Ingatan itu disuarakan pengendali negara, Brad Maloney yang mahu anak buahnya terus fokus mengutip enam lagi mata maksimum dalam baki dua aksi kumpulan selepas ini.

Katanya, kemenangan 2-1 ke atas Thailand pada aksi pertama dan kejayaan menundukkan Laos 3-1 dalam perlawanan kedua malam tadi adalah titik permulaan buat skuad kendaliannya mencongak peluang ke peringkat seterusnya.

Jelasnya, apa saja boleh berlaku dalam dua aksi berikutnya menentang Singapura pada Sabtu ini dan Kemboja dua hari kemudian.

"Kita tidak mahu memikir terlalu jauh, di mana kami mengambil pendekatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan, jadi kita kena fokus untuk aksi berikutnya.

"Paling penting kita tidak kehilangan mata kerana persaingan daripada pasukan lain dalam kumpulan ini cukup sengit, jadi kita kena perlu sentiasa berada pada prestasi terbaik.

"Saya mahu pemain mengekalkan momentum ini dan kekal fokus untuk perlawanan berikutnya supaya kita meraih keputusan positif," katanya pada sidang media sejurus berakhirnya aksi kedua dengan Laos itu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh itu, Malaysia yang dalam misi untuk menamatkan badi 11 tahun pingat emas bermula garang apabila mendahului 2-0 di babak pertama.

Penyerang muda negara yang beraksi di Belgium bersama KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin membuka akaun golnya di temasya itu pada minit ke-32 selepas bijak melepasi perangkap offside sebelum Muhamad Syahir Bashah pula meledak meneusi rembatan lencong dari luar kotak penalti di minit ke-43.

Luqman sekali lagi mencetak nama selaku penjaring di minit 68 sebelum Laos meraih gol saguhati menerusi Visith pada minit 84, namun ia tidak cukup menghalang kemenangan berpihak kepada skuad negara.

"Sudah tentu kita berpuas hati dengan tiga mata ini, di mana Laos juga memberi tentangan sengit kepada kita dan mereka ada pemain berkualiti.

"Ia (keputusan) baik untuk kami meraih keputusan ini dan melangkah untuk aksi berikutnya dalam kejohanan ini," kata Maloney.

Ketika ini, Malaysia memimpin carta Kumpulan B dengan enam mata diikuti Singapura di tangga kedua (4 mata), Thailand (3 mata), Kemboja (3 mata) dan Laos (1 mata).

Begitupun Singapura dan Laos hanya memiliki baki satu aksi di dalam tangan, berbanding Malaysia, Thailand dan Kemboja yang baru beraksi dua perlawanan setakat ini.

Disiarkan pada: May 12, 2022 @ 2:17pm
d