Bola Sepak

Waspada ancaman Singapura

Oleh Syazwan Msar

Hanoi: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney memberi peringatan kepada pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan Singapura menjelang aksi ketiga Kumpulan B Sukan Sea Hanoi di Vietnam esok.

Hal ini kerana, dua kemenangan 2-1 dan 3-1 yang dicipta menentang Thailand dan Laos bukanlah tiket untuk barisan pemain mempamerkan aksi sambil lewa bertemu Singapura berikutan pasukan terbabit sudah pastinya mahu meraih kemenangan untuk mengungguli kumpulan itu.

Maloney berkata, barisan anak buahnya harus meneruskan rentak kecemerlangan dengan memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia pada pertemuan menentang Singapura.

Katanya, walaupun melihat peluang ke pusingan seterusnya dilihat cerah, baki dua perlawanan cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B.

"Kita bermula dengan baik dengan mencatatkan dua kemenangan namun perkara itu seharusnya menjadi sebagai peniup semangat untuk meraih kejayaan pada baki aksi pasukan negara.

"Oleh itu, mereka terus fokus untuk mencipta kemenangan dan mungkin akan menurunkan barisan pemain terbaik bertemu Singapura," katanya.

Skuad B-23 akan turun menentang Singapura di Stadium Thien Truong dengan misi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Ketika ini Malaysia mengungguli Kumpulan B dengan enam mata selepas menumpaskan Thailand dan Laos manakala Singapura pula mengumpul empat mata untuk berada di kedudukan kedua.

Sementara itu, Maloney berkata, persembahan anak buahnya dalam dua perlawanan terdahulu dilihat mempunyai peningkatan positif sekali gus mengharapkan momentum berkenaan dapat dikekalkan untuk perlawanan seterusnya.

"Mereka sentiasa mahu menjaringkan gol dan itu satu perkara yang baik untuk pasukan dalam usaha meraih kemenangan di temasya Sukan Sea ini," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2022 @ 5:14pm
d