Bola Sepak

Nurshamil mahu muncul penjaring terbanyak Liga Perdana

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas memenangi gelaran penjaring gol terbanyak tempatan bagi saingan Liga Perdana musim lalu, penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani menyimpan misi lebih besar pada musim ini.

Menurutnya, dia mahu memberikan cabaran kepada pemain import dengan cuba meletakkan sasaran muncul penjaring terbanyak Liga Perdana.

Berbekalkan lima jaringan selepas tujuh perlawanan bersama Kelantan FC setakat ini, Nurshamil mula memasang impian yang dia mampu meraih rekod jaringan lebih baik pada musim 2022.

"Memang saya letakkan sasaran untuk mendapatkan gelaran penjaring terbanyak keseluruhan selepas berjaya mendapatkannya menerusi kategori tempatan musim lalu.

"Malah, saya gembira dengan kerjasama pemain import (Kervens Belfort, Nixon Guylherme) yang sentiasa memberikan bantuan kepada saya untuk menjaringkan gol.

"Ini sesuatu yang berbeza dengan pasukan lain kerana biasanya pemain tempatan yang selalu kena berikan bantuan kepada pemain import.

"Saya mahu memenangi gelaran ini untuk membuktikan serta menaikkan semula imej penyerang tempatan, jika diberi ruang, kami sebenarnya masih mampu menyumbang kepada pasukan," katanya.

Nurshamil kini hanya ketinggalan satu gol kepada Fernando Rodriguez (JDT II), Martin Adamec ( PDRM FC) dan Njoku Jacob (Kelantan United FC) dengan masing-masing meledak enam jaringan.

Musim lalu, Nurshamil menjaringkan sembilan gol untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana dengan penjaring terbanyak keseluruhan dimenangi Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II).

Dalam pada itu, dia berpuas hati dengan prestasi pasukan yang kini berada pada laluan yang tepat bagi mengejar kejuaraan Liga Perdana.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 5:25pm
d