Bola Sepak

Sri Pahang janji aksi terbaik berdepan JDT

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sri Pahang FC janji memberikan aksi terbaik berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendalinya, Christophe Gamel berkata, biarpun sedar akan berdepan kesukaran, skuad itu akan berusaha memberikan tentangan.

"Saya jangkakan perlawanan yang sengit bakal dihadapi Sri Pahang dan diharapkan semua pemain dapat bermain dengan baik.

"Berdepan JDT yang memiliki pemain berpengalaman menyebabkan saya harapkan pemain Sri Pahang memanfaatkan sebaik peluang yang dimiliki," kata jurulatih dari Perancis itu.

Difahamkan, penyerang import, Mahmoud Za'tara masih menjadi sandaran utama skuad Tok Gajah membolosi gawang Harimau Selatan itu.

Sandaran itu berdasarkan prestasi semasa selepas penyerang Jordan itu menjaringkan dua gol ketika menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada pusingan kedua Piala FA, Sabtu lalu.

Pada masa sama, pemain import dari Laos, Billy Ketkeophomphone masih tidak dapat diturunkan kerana belum pulih daripada kecederaan.

Namun, sentuhan jaringan dua pemain tengah iaitu Nor Azam Azih dan Manuel Hidalgo tetap menjadi taruhan terbaik skuad Tok Gajah.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kelapan liga dengan tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan satu seri.

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 7:08pm
d