Bola Sepak

Pan-gon siapkan senjata rahsia skuad negara

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya nampaknya sedang membina 'senjata rahsia' yang bakal menggegar saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

Ia disahkan sendiri pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang mengakui sedang mengubah dan menambah taktikal baharu dalam pasukan negara ketika ini.

Katanya, formasi yang digunakan ketika latihan pusat pertama pada Mac lalu adalah 'senjata pertama' buat skuad negara, dengan beliau serta barisan kejurulatihan sedang berusaha menyuntik elemen baharu untuk menambah variasi dalam permainan pasukan kebangsaan.

Untuk itu, beliau mengharapkan 30 pemain yang dipanggil termasuk sembilan muka baharu dapat segera menyesuaikan diri dengan formasi dan gaya permainan baharu yang akan diterapkan sebelum turun membuka kempen Kelayakan Piala Asia bertemu Turkmenistan, 8 Jun nanti.

"Kita ada beberapa perkara untuk dibetulkan dan kita juga mahu melihat peningkatan dan kita mahu sediakan 'senjata baharu' buat pasukan namun ia tidak boleh dikongsikan lagi.

"Apapun kita mahu wujudkan formasi baru supaya kita boleh buat pilihan yang banyak apabila menentang mana-mana lawan, bergantung kepada kekuatan pasukan lawan dan corak mereka.

"Dalam latihan kita akan buat pengulangan supaya pemain baru dan lama akan meningkat dan faham serta segera menyesuaikan diri," katanya.

Ditanya kepentingan dan kesannya buat skuad negara, Pan-gon yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong mengakui ia penting bagi mengelirukan pasukan lawan.

"Perubahan itu seperti formasi, jadi sasaran saya ialah saya tak mahu kita hanya bergantung kepada satu formasi sahaja.

"Situasi itu seolah akan memudahkan pihak lawan untuk buat analisis kemampuan kita, jadi bagi saya kita perlu buat fleksibiliti dan kita perlu cepat menyesuaikan diri dengan formasi yang baharu nanti," katanya.

Selain Turkmenistan, dua lagi pasukan iaitu Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) turut berada dalam Kumpulan E, dengan Malaysia wajib muncul juara kumpulan untuk menempah slot automatik ke Piala Asia tahun depan.

Disiarkan pada: May 22, 2022 @ 1:15pm
d