Bola Sepak

Maloney sasar lepasi peringkat kumpulan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney menyimpan hasrat untuk membawa skuad Harimau Muda negara cuba melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan dari 1-19 Jun ini.

Pasukan negara diletakkan bersama juara bertahan, Korea Selatan dan dua seteru rantau ini iaitu Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan C pada kempen kali ini.

"Thailand, Vietnam dan Korea Selatan, mereka semua pasukan yang baik di benua Asia. Kita tahu kemampuan Thailand dan Vietnam, di mana mereka sudah buktikannya di Sukan Sea baru-baru ini, jadi kita jangkakan situasi sama di sana nanti.

"Bagi Korea Selatan pula, mereka adalah gergasi bola sepak Asia, jadi kita tak boleh ambil mudah apabila menentang pasukan seperti itu. Sudah tentu kita mahu melepasi peringkat kumpulan dan kita akan menganalisis lawan, dan ia bukan mudah tapi kita mahu cuba melepasi halangan itu," katanya.

Untuk rekod, ia penampilan kedua skuad B-23 bertanding di Piala Asia dengan pencapaian gemilang sudah tentunya pada kempen 2018 lalu.

Waktu itu, skuad muda negara yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee berjaya mara hingga ke suku akhir sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Korea Selatan apabila mengalami kekalahan tipis 1-2.

Kebetulan ketika itu, Maloney turut berada dalam skuad terbabit sebagai penolong jurulatih kepada Kim Swee dan sudah tentunya pengalaman lalu memberi sedikit kelebihan buat pengendali yang berasal dari Australia itu.

Disiarkan pada: May 26, 2022 @ 9:29pm
d